Monday, February 8, 2010

Sejarah kilang Nasir Soya

Sebelum memulakan perniagaan 14 tahun lalu, seorang jurutera elektrik,Mohd. Nasir bin Mohd. Kassim mempunyai idea yang dianggapnya menarik iaitu mencuba perniagaan minuman air kacang soya secara komersial dan mempelopori pasaran baru dengan ideanya.
Bagi beliau, langkah itu akan membuka ruang perniagaan produktif kerana soal persaingan serta halangan tertentu dapat diminimumkan.
Namun percaturan yang dibuat Encik Nasir dengan menggadaikan jawatannya sebagai jurutera kurang menjadi, sehingga beliau terpaksa merombak dan menyusun semula strategi dan tumpuan pasaran.
Jangkaan beliau untuk meraih jumlah hasil jualan yang tinggi di kawasan Alor Setar sebagai syarikat bumiputera tunggal dalam bidang perniagaan tersebut tidak mencapai sasaran.
Usaha beliau memperkenalkan minuman air kacang soya yang berkhasiat dan berkualiti melalui resipi istimewanya gagal meraih permintaan yang disasarkan sebelumnya.
“Majoriti masyarakat di Negara ini kecuali orang Cina tidak begitu biasa dengan minuman air kacang soya, jadi dengan pasaran yag bertumpu di sekolah,kilang dan peniaga kecil-kecilan,saya rasakan produk berprotein tinggi ini sesuai dipasarkan di mana-mana sahaja” kata Encik Nasir ketika menyorot kembali sejarah perniagaannya.
Kegagalan beliau untuk melariskan penjualan menyebabkan beliau bertukar tempat operasinya daripada Alor Setar ke Pulau Pinang.
Encik Nasir telah mengikat tekad, dengan menggadai status jurutera syarikat semikonduktor, untuk melibatkan dirinya secara sepenuhnya di dalam perniagaan beliau pada tahun 1996.
“Tempoh 1997 hingga 1998 memang diketahui sebagai masa yang amat mencabar bagi peniaga, saya yang baru mula belajar berniaga juga tidak terkecuali.
“Dengan tekad untuk memajukan perniagaan,saya mengambil keputusan kembali ke Pulau Pinang dan menerima hakikat bahawa saya kena bersaing dan memasuki pasaran yang telah tersedia iaitu pasaran di kalangan orang Cina,” tambah beliau.
Dengan menyewa sebuah premis di kawasan perindustrian ringan tidak jauh dari kilang semikonduktor tempat beliau pernah bekerja,Encik Nasir mendalami bidang pembuatan dan pengedaran soya dan menjadikan kawasan sekitar Pulau Pinang sebagai pasarannya.
Berbeza dengan apa yang dialami di Alor Setar, di pulau mutiara ini, beliau tidak mempunyai masalah pasaran tetapi lebih kepada kerenah pelanggan yang menetapkan pelbagai syarat dan prosedur dalam jual beli.
Keadaan ini berlaku kerana beliau memilih untuk tidak menjual soya yang diprosesnya dalam paket seperti jenama terkenal, tetapi memasuki pasaran berkuantiti besar.
Encik Nasir berpendapat beliau lebih yakin menjualnya kepada restoran, peniaga gerai, kantin sekolah, kilang dan sebagainya.
“proses pengeluaran bermula pukul 12 malam dan proses penghantaran bermula pukul 4 pagi dan selesai pukul 9.30 pagi, semuanya dilakukan dengan menitikberatkan rasa, kualiti, kepuasan pelanggan dan khasiat,” kata beliau.
Syarikat milik Mohd. Nasir yang mempunyai 25 pekerja, kini mengeluarkan kira-kira 1.5 tan produk soya segar setiap hari.
Operasinya bukan hanya terhad di Pulau Pinang tetapi juga diperluaskan dari tempat operasi asalnya di Alor Setar ke Perlis, sebahagian Kedah termasuk Changloon dan Sungai Petani serta utara Perak.
“Kita akan bergerak lebih jauh lagi,” kata Encik Nasir.
“Kami akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) serta Sirim Bhd. Saya akan meningkatkan kaedah pembungkusan produk itu,” kata beliau yang akan menubuhkan sebuah syarikat baru Nasir Soya Bean Sdn. Bhd. sebagai persediaan mengembangkan perniagaan dalam menghadapi cabaran masa depan terutamanya dengan mendapatkan pengiktirafan daripada pihak berkuasa kerajaan.

1 comment:

  1. salam...tahniah utk en.nasir krana mnjdi pngeluar soya bumiptra yg serius dn brjaya dalam bidang ini...10tahun dulu saya pernah mnjual soya anda d tman bertam k.batas saya akui masa itu soya anda mmang terbaik kualitinye tp tk tahu skrg mcmmna harap2 masih maintain kualitinya...ok lah skrg ni sya masih berniaga soya tetapi d kota dsara p.jaya...apa yg ingin saya berkongsi d sini adalah saya berminat untuk bekrjasma dgn anda utk mngembangkn pengeluaran anda ke kwsan KL jkalau anda berstuju & bersedia anda boleh emailkn harga soya utk 6000liter sehari termasuk dgn harga pengangkutn...utk berbcg dgn lebih lnjut sila hubungi 012 2445984 SOUQIE MAHMOUD email souqie88_eb@yahoo.com

    ReplyDelete